Wednesday, July 27, 2011

ampunkan dosaku YA ALLAH....

Di satu senja yang hening, kelihatan seorang wanita berjalan terhuyung hayang. Pakaiannya yang serba hitam itu menandakan dia sedang berdukacita dan berkabung. Kerudungnya hampir menutup seluruh wajahnya yang kelihatan sedih dan tidak bermaya. Namun, kesedihan itu tidak dapat menyembunyikan rautnya yang ayu sekali pun tanpa sebarang solekan. Sesekali angin yang bertiup menampakkan kulitnya yang mulus bersih dan terselindung di sebalik purdah yang dipakai.

Wanita itu berjalan dengan langkah longlai menuju ke kediaman Nabi Musa AS. Ada apakah hajatnya? Tambahan pula datang ketika waktu senja-senja begitu?

Pintu rumah Nabi Musa diketuk perlahan-lahan sambil memberikan salam. Seketika kemudian, terdengarlah ucapan dari dalam,“Silakan masuk.”

Sambil menundukkan kepala dan melindungkan wajahnya, wanita itu menuju ke arah Nabi Musa AS. Dengan deraian air mata, wanita itu berkata, “Wahai Nabi Allah. Tolonglah aku. Doakan aku agar Tuhan berkenan mengampuni segala dosa keji yang telah kulakukan. Bolehkah tuan membantu aku?”.

“Apakah dosamu wahai wanita ayu?” tanya Nabi Musa ingin tahu. Pada hematnya, wanita itu kelihatan seperti orang baik-baik. Apakah dosanya itu besar sekali sehingga dia terpaksa datang memohon bantuan darinya?

“Aku takut mengatakannya. Dosaku terlalu besar,” jawab wanita itu.

“Katakanlah agar aku boleh mendoakan bagi pihakmu. Jangan ragu-ragu. Ceritakan kepadaku,” desak Nabi Musa pula.

Dengan suara yang terputus-putus, perempuan itu berkata, “Aku…telah berzina…”

Nabi Musa tersentak. Dia tidak mampu menahan rasa terkejut mendengar kata-kata wanita itu.

“Dari penzinaan itu, aku pun hamil. Setelah anak itu lahir, aku merasa takut sekali kalau-kalau orang lain tahu apa yang telah aku lakukan. Kemudian aku cekik leher anak itu sampai…dia akhirnya mati di tanganku..” jelas wanita itu sambil menangis semahu-mahunya.

Habis saja mendengar cerita wanita itu, Nabi Musa lantas bangun dan mengherdik.

“Wahai perempuan! Nyah segera kamu dari sini! Agar siksa Allah tidak mengenai rumahku ini kerana perbuatanmu yang hina itu. Pergi…!” teriak Nabi Musa sambil memalingkan mukanya. Alangkah kejinya perbuatan wanita itu! Alangkah hinanya sampai dia sanggup membunuh bayi yang tidak berdosa!

Dengan hati yang hancur luluh, wanita itu bangkit dan melangkah pergi. Hayunan kakinya terhuyung hayang kerana terlalu sedih sekali. Sambil meratap dan menangis, dia tidak tahu ke mana lagi ingin pergi. Malang sekali nasibnya. Kalau seorang Nabi sudah menolaknya, bagaimana pula manusia lain boleh menerimanya. Jadi, adakah ruang untuk dia terus hidup di dunia ini?

Dengan dosa yang terpikul dibahu, wanita itu terus melangkah mengikut kata hatinya. Dia tidak tahu, malaikat Jibril telah turun mendatangi Nabi Musa selepas itu.

Jibril telah bertemu dengan Nabi Musa dan bertanya, “Mengapa engkau menolak seorang wanita yang hendak bertaubat dari dosanya? Tidakkah engkau tahu dosa yang lebih besar daripada apa yang dilakukan wanita itu?".

“Apakah ada dosa yang lebih besar daripada yang dilakukan perempuan nista itu? Katakan kepadaku dosa apakah yang lebih besar dari kekejian wanita penzina dan pembunuh itu?” tanya Nabi Musa kehairanan.

“Ada!” jawab Jibril dengan tegas.

“Itulah dosa orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dan tanpa menyesal. Orang itu dosanya lebih besar daripada seribu kali berzina,” sambung Jibril.

Mendengar penjelasan itu, Nabi Musa tersedar kesilapannya kerana terlalu cepat menjatuhkan hukuman. Tidak adil dia menghalau seorang wanita yang sudah insaf akan kesalahannya.

Tanpa berlengah, Nabi Musa pun memanggil wanita itu datang menghadap kembali padanya. Setelah itu, dia mengangkat tangan dengan khusyuk dan memohon keampunan kepada Allah untuk wanita itu. Nabi Musa menyedari, orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja dan tanpa penyesalan adalah sama seperti berpendapat bahawa sembahyang itu tidak wajib dan tidak perlu ke atas dirinya. Mereka itu seakan-akan menganggap remeh perintah Tuhan, bahkan ibarat menganggap Tuhan tidak punya hak untuk mengatur dan memerintah hamba-Nya.

Ini berbeza dengan orang yang bertaubat dan menyesali segala dosa-dosa mereka dengan bersungguh-sungguh. Mereka ini masih mempunyai iman di dada dan yakin Allah akan mengampuni setiap hamba-Nya yang bertaubat dengan syarat ia adalah sebenar-benar taubat.

No comments:

Post a Comment