Wednesday, August 10, 2011

aKu sEoRaNG MaNuSia BiaSa....


Aku seorang manusia biasa. Sesekali terlupa bahawa aku manusia biasa. Sesekali juga aku alpa dek kemulusan liuk lentok kehidupan dunia. Semuanya nampak indah segalanya.

Aku tidak mencari kesempurnaan sedangkan aku juga tidak sempurna. Aku sedar. Aku tahu. Aku mengerti. Aku amat memahami. Aku diajar untuk sedar diri. Tahu di mana letaknya diri. Diajar memijak di bumi yang nyata. Diajar jangan memandang di tempat yang terlalu tinggi kelak dikhuatiri terlupa realiti diri.

Pun begitu, siapa pula aku untuk menghukum manusia lain sedangkan aku juga sedang menanti hukuman. Siapa mungkin mahu duduk serendah aku dan mengorbankan harga diri mereka yang tinggi dan terpuji untuk duduk bersimpuh berlantai tanah???

Tali harapan yang ku pintal ini rapuh. Bekas yang buat ku tadah impian ini tiris. Selimut kasih ini semakin kotor dan berdebu. Mungkin semua ini selayaknya untuk aku. Manusia dhaif dan berdosa.

Namun aku masih ada kudrat yang perlu aku kerah. Patah sayap bertongkat paruh, gunung kudaki, kudaki jua. Perjuangan ini belum selesai. Aku percaya masih ada cahaya di hujung sana. Aku percaya masih ada tangan yang sudi menyambut ketika aku tersungkur dan terduduk.

Maafkan aku kerana tidak mudah melupakan. Biar bibir mengucap maaf, hati berbekas hilangnya tiada. Putih kata, kadang kala bertukar hitam jua. Yang jahat tidak selamanya durhaka. Yang baik tidak akan menjelma menjadi dewa.

Manusia ini darahnya sama sahaja merahnya. Membezakan kita amal dan taqwa. Katakan sahaja apa yang mereka rasa. Ayuh beritahu dunia aku ini manusia jahat, durjana dan puaka. Aku mungkin tidak layak untuk siapa juga manusia yang serba sempura kerana.. aku sedar, aku tidak mungkin sempurna…. sampai bila-bila.

“Maafkan aku kerana memberikan kau cinta yang tidak sempurna. Kerana aku perlukan kau untuk sempurnakan cinta kita”

No comments:

Post a Comment